JOHOR BAHARU: Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Dato Sri William Mawan Ikom kagum dengan sambutan hebat yang diterima oleh “pasar tamu” anjuran Persatuan Penjaja, Peniaga dan IKS Borneo di Taman Megah, Pasir Gudang di sini semalam.
“Pasar ini sungguh berjaya dan ia menunjukkan bahawa anak Sarawak bersemangat tinggi dalam bidang perniagaan,” katanya kepada pemberita semasa mengunjungi pasar tradisional suku kaum Dayak itu di sini.
Mawan berkata beliau yakin pasar tradisional itu akan terus maju dan menerima semakin banyak pengunjung yang datang untuk membeli pelbagai jenis sayur-sayuran dan makanan, termasuk yang diperoleh dari hutan tempatan serta ikan terubuk yang dibawa dari Sarawak.
Kini, pasar berkenaan mempunyai kira-kira 65 peniaga, yang terdiri daripada orang Dayak-Iban, Cina, Melayu dan India.
Mawan berkata kunjungan beliau ke pasar itu juga bertujuan mengumpul data tentang rakyat Sarawak yang menetap di Johor bagi membolehkan kementerian yang diterajuinya menyalurkan bantuan yang mereka perlukan pada masa akan datang.
Kira-kira 40,000 rakyat Sarawak daripada suku kaum Dayak-Iban kini tinggal di Johor dan pasar tamu berkenaan, yang dibuka dari jam 6 hingga 9 pagi setiap Ahad, menjadi tempat pertemuan utama mereka.
Berita tentang 40,000 anggota suku kaum Dayak-Iban yang tinggal di Johor serta pasar berkenaan dilaporkan oleh Bernama awal tahun le-pas dan sejak itu ia menjadi bualan kebanyakan penduduk Sarawak.
— Bernama




