|
Majlis Bandaraya Miri tidak berhasrat naikkan cukai pintu sebaliknya ambil alternatif lain untuk kurangkan impak
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak berhasrat untuk menaikkan kadar cukai pintu bagi penduduk di bandar raya ini sebaliknya mencari alternatif lain bagi mengurangkan impak ekoran kenaikan harga bahan bakar.
Datuk Bandarnya, Dato Wee Han Wen berkata pihak majlis akan mengurangkan kerja-kerja mengutip sampah di kawasan kediaman sebagai usaha penjimatan kos bagi mengurang bebanan kos penyelenggaraan dan pentadbiran MBM.
Beliau memberitahu mulai tahun depan, kerja-kerja mengutip sampah dikurangkan dua kali seminggu bagi menjimat kos pembayaran kepada syarikat kontraktor berikutan peningkatan harga minyak petrol yang mungkin akan menambah kadar bayaran perkhidmatan syarikat.
Secara langsung katanya ia akan membantu mengurangkan impak terhadap kadar pembayaran cukai pintu penduduk Miri.
“Buat masa ini kita belum berhasrat untuk menaikkan kadar cukai pintu. Dengan penjimatan ini juga kita boleh mengekalkan kadar bayaran cukai pintu.
“Kita boleh berjimat sehingga RM600,000 setahun jika kita amalkan kutipan sampah dua kali seminggu,” katanya mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBM pagi semalam.
Menurut Wee, MBM boleh berjimat sebanyak RM46,096.50 sebulan dengan anggaran perbelanjaan bulanan RM252,466,56 (dua kali seminggu) berbanding RM298,562.80 (tiga kali seminggu).
Bagaimanapun arahan kutipan dua kali seminggu itu tidak termasuk kawasan komersil di Zon A dan B.
“Kita mempunyai tujuh zon dan lima zon iaitu C, D, E, F dan G adalah kawasan kediaman di mana kita akan arahkan kerja-kerja mengutip sampah dari tiga kali seminggu kepada dua kali seminggu bermula Januari tahun depan,” katanya lagi.
Terdahulu, Wee diserahkan Anugerah Alam Sekitar Bandar Bestari (Inisiatif Pendidikan dan Kesedaran – Penyertaan Masyarakat 2006/2007) yang dimenangi pada 5 Jun lalu.
Anugerah itu dimenangi oleh MBM pada satu majlis di Kuala Lumpur dan MBM diwakili oleh Timbalan, Radzali Alision.
Anugerah dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan kerjasama dari Jabatan Kerajaan Tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wee turut menerima Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri , Kategori Sektor Awam yang diadakan pada 30 April lalu dianjurkan oleh Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) dan Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak.
|
Leave a Reply