KUCHING: Rakyat diajak supaya sentiasa mengekalkan semangat perpaduan yang terjalin sejak sekian lama, tanpa dijejaskan oleh mana-mana isu yang ditimbulkan termasuk fenomena global mengenai krisis kenaikan harga minyak yang berpunca dari spekulasi ‘penyangak minyak’, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, pengeluaran minyak dunia adalah mencukupi untuk menampung permintaan tetapi tindakan ‘penyangak minyak’ yang membuat spekulasi menyebabkan harga bahan api itu melambung tinggi di seluruh dunia.
“‘Penyangak minyak’ ini mahu kita bergaduh sesama sendiri seperti yang pernah dilakukan mereka di beberapa negara Islam lain, sebelum ini.
“Justeru, peliharalah perpaduan dan elakkan percakaran sesama kita ketika menghadapi masalah kenaikan harga minyak sekarang ini,” katanya sambil menambah, spekulasi ‘penyangak minyak’ membuatkan harga minyak pasaran dunia meningkat RM38 sehari.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ujian Tilawah al-Quran Tertutup Kampung Kedei Lama dan Persatuan Cina Muslim anjuran AJK Surau Darul Ibadah Kampung Kudei Lama di sini, malam semalam.
Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, Islam mementingkan kesederhanaan dari pelbagai sudut kepada penganutnya dalam menjalani kehidupan.
“Bagi orang muslim, jadikan al-Quran sebagai panduan hidup atau pedoman ketika berdepan dengan sebarang masalah,” katanya di majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi Penganjur Muhd Willi Morshidi.
Dalam pada itu, seramai 47 peserta qari dan qariah melibatkan kategori dewasa, kanak-kanak dan saudara baru menyertai pertandingan tilawah al-Quran berkenaan.




